Breaking News

Sunday, 21 May 2017

YB JANGAN SIBUK URUSAN SELANGOR

PETALING JAYA - Ketua Srikandi PKR, Senator Siti Aisyah Shaik Ismail mencabar Timbalan Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, agar berani menegur pucuk kepimpinan negara jika mereka melakukan kesalahan.

"Dia orang Melaka, tapi sibuk hendak campur tangan urusan Selangor. Dia kata YB Azmin (Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) penakut, dan tidak boleh buat keputusan.

"Saya nak tegur Ketua Puteri Umno, kamu cakap Azmin penakut, tapi dia (adalah) menteri besar, dia jaga negeri dengan baik. Kamu ketua puteri, tapi menikus apabila pemimpin kamu mencuri dan berbuat maksiat," katanya ketika berucap pada Kongres Nasional Tahunan Wanita ke-12.

Katanya, jika begitu sikap pemimpin Umno, maka rakyat perlu pastikan ketua wanita Umno tumbang di Melaka pada pilihan raya akan datang.

Pada masa sama, Siti Aisyah mahu wanita PKR bangkit merawat virus yang sedang merebak dalam negara.

"Kita tahu negara kita sedang dijangkiti satu virus yang dibawa oleh satu bakteria yang mana mereka ni sedang melakukan gerak kerja di peringkat bawah yang mensasarkan  pengundi wanita dan orang Melayu bagi memastikan mereka kekal berkuasa dalam pilihan raya.

"Adakah kita akan membiarkan Umno dan BN terus menipu golongan wanita? Adakah kita akan terus membiarkan wanita Umno menipu wanita lagi?,"katanya.

Katanya, bila ada virus harus ada vaksin. Wanita PKR perlu jadi  penyampai yang baik dan turun padang bertemu rakyat dan beritahu  semua kaum, Cina India Melayu, agar tidak lagi takut membawa perubahan.

"PKR akan pastikan parti ini memimpin lebih baik daripada Umno dan BN.

"Rakyat selalu merungut, kalau dulu kata hendak berjuang untuk rakyat tapi bila sudah menang, rakyat jadi nombor dua. Akhirnya bila rakyat menderita, rakyat buat keputusan wakil rakyat itu perlu dikembalikan menjadi rakyat," katanya.

Tambahnya, rakyat mahukan seorang tokoh. Apa juga yang berlaku Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dibebaskan

"Bebaskan Anwar kerana dia bakal pemimpin kita. Ketepikan persengketaan, salah faham dan bersatu dalam pilihan raya. Tumbangkan BN.

"Kita bina Malaysia yang lebih baik. Jangan cari parti lain Kerana PKR adalah parti masa depan negara," katanya. - Sinar Harian
Read more ...

Friday, 19 May 2017

MUHYIDDIN BUAT AKSI LAWAK DEPAN TUN MAHATHIR

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tidak ada sesiapa boleh memadamkan sejarah sumbangan Tun Dr Mahathir Mohamad membangunkan Malaysia di mata dunia sepanjang 22 tahun memerintah.
Kata Muhyiddin, Umno sepatutnya meletakkan gambar Mahathir ketika sambutan hari ulang tahun ke-71 baru-baru ini.
“Syabas kita terhutang budi kepada Tun Dr Mahathir sebagai bapa pembangunan Malaysia yang tidak boleh dinafikan sesiapapun.
“Sebab itu dia kena letak gambar Tun sambutan 11 Mei hari Umno. Dia tak boleh elak muka Tun Mahathir di depan. Kerana sejarah yang telah dicipta oleh Tun dalam sejarah Malaysia yang tak boleh dipadam oleh sesiapa pun termasuk BN dan Umno,” katanya.
Muhyiddin berucap dalam Jelajah Semarak di Kubang Pasu, Kedah pada 16 Mei lalu.
Video ucapan dimuat naik di Facebook Parti Pribumi BERSATU Malaysia.
Muhyiddin juga mendakwa negara ini kini digelar negara kleptokrasi.
Ketika bertanya kepada rakyat Kubang Pasu mengenai maksud kleptokrasi, Muhyiddin sempat menunjukkan gaya ‘kelepet’.
“Penyamun? Kelepet? Kelepet macam ini…tunjuk contoh kelepet,” katanya yang mendapat gelak tawa hadirin. – Sumber: KiniTV
Read more ...

Tuesday, 16 May 2017

PAS BELAKANGKAN ISLAM, AL-QURAN KERJASAMA KEBAIKAN, KATA DR MAHATHIR


Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa PAS tidak mengikut perintah al-Quran untuk bekerjasama dalam hal-hal kebaikan dalam berpolitik. – Foto The Rakyat Post
Dr Mahathir merujuk al-Maidah ayat 2 yang menggesa umat Islam sentiasa tolong-menolong dalam kebaikan dan bukannya perkara dosa dan permusuhan.
“Bahawa al-Quran melarang berpakat untuk membuat jahat, dan sebaliknya berpakat hanya untuk amal ma’aruf tidak sedikit pun dipedulikan oleh PAS dan pemimpinnya,” kata bekas perdana menteri itu di blognya hari ini.
Kata bekas presiden Umno itu lagi, PAS rela bersendirian dalam pilihan raya umum nanti tetapi langkah itu hanya merugikannya dan gabungan pembangkang.
“Pakatan Harapan dan PAS akan kalah dan Barisan Nasional akan menang menguntungkan UMNO,” kata Dr Mahathir, kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Inilah sebenarnya perjuangan PAS. Ia bukan untuk bangsa dan agama. Ia bertujuan melemahkan orang Melayu.”
Beliau mendakwa lagi bahawa pengikut PAS begitu fanatik terhadap parti itu sehingga “sanggup membelakangkan Islam dan al-Quran.”
“Al-Quran melarang mengkafir orang Islam. Sesiapa yang membuat dakwaan ini tanpa soal selidik keatas beribu-ribu orang Islam, orang yang mengucap dua kalimah syahadah, maka kafir itu akan kembali kepadanya.
Mereka dipercayai membaiah kepada parti dan pemimpin mereka. Bai’ah ini mengikat mereka sehingga mereka sanggup membelakangkan Islam dan Al-Quran.
Terpulanglah kepada ahli PAS samada mengikut ajaran Islam atau terus membai’ah dan taksub kepada parti dan pemimpinnya yang berjuang untuk nafsu didunia.” – Dr Mahathir

Read more ...

Sunday, 14 May 2017

SABAH, UNDILAH PARTI UNTUK GANTI BN, KATA SHAFIE

BEAUFORT: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal menggesa rakyat Sabah mengundi parti untuk menggantikan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Menjawab soalan pemberita selepas majlis sambutan Pesta Kaamatan di sini hari ini, beliau ditanya bagaimana Warisan akan menangani pertembungan dengan parti lain di Sabah.
“Rakyat Sabah pilihlah parti yang boleh tumbangkan BN. Jangan undi parti yang hanya boleh wujudkan wakil rakyat. Undi parti yang boleh wujudkan kerajaan baharu,” katanya.
Beliau yakin pengundi akan memilih Warisan jika rakyat Sabah mahukan kerajaan baharu.
“Saya yakin mereka akan memilih Warisan kerana Warisan ada kemampuan dan keupayaan menumbangkan BN.”
Selain Warisan dan BN, Pakatan Harapan dan Gabungan Sabah (USA) turut menyatakan hasrat bertanding pada pilihan raya umum ke-14.
USA, yang aktif sejak 2 tahun lalu, terdiri daripada Parti Solidariti Tanah Airku (Sabah STAR) yang dipimpin Datuk Jeffrey Kitingan, Parti Progresif Sabah (SABB) yang dipimpin Datuk Seri Yong Teck Lee, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) yang dipimpin Datuk Seri Lajim Ukin dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) yang dipimpin Arshad Abdul Mualap.
Menurut laporan Malay Mail Online bulan lepas, Parti Cinta Sabah menarik diri daripada USA kerana mengharapkan gabungan parti pembangkang yang hebat dapat dibentuk di Sabah. - FMT
Read more ...

NAJIB BERADA DIKEMUNCAK SOKONGAN RAKYAT

SHAH ALAM - Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, mendakwa kedudukan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berada pada tahap terbaik dengan kebangkitan rakyat menyokong parti itu semakin ketara.

Jelas beliau, dakwaan itu dibuktikan dengan sambutan luar biasa yang diterima Najib dan Umno pada Himpunan 71 tahun Umno di stadium Bukit Jalil baru-baru ini.

"Najib yang juga Pengerusi BN berada dikemuncak sokongan rakyat, satu kebangkitan solidariti yang sungguh luar biasa di Stadium Bukit Jalil, tsunami Umno telah berlaku," katanya yang dipetik menerusi blognya.

Difahamkan, lebih 100,000 ahli Umno menghadiri Himpunan 71 tahun Umno di stadium Bukit Jalil sehinggakan mewujudkan suasana 'Gelombang Merah' di dalam dan di sekitar stadium itu.
Ulang tahun Umno yang bertemakan 'Tujuh Dekad Memperjuang Bangsa' itu menjadi yang terbesar pernah diadakan dalam sejarah Umno.

Syed Ali berkata, sokongan padu terhadap Najib juga turut meresahkan blok pembangkang yang sebelum ini mencanangkan kepimpinan perdana menteri tidak mendapat sokongan akar umbi.

"Percaturan pembangkang tidak tepat dan sekaligus memberi isyarat bahawa PRU14 akan datang merupakan satu pilihan raya yang amat menyukarkan buat mereka (pembangkang), tegasnya. - Sinar Harian
Read more ...

Friday, 12 May 2017

'1 JUTA PEKERJAAN DALAM 5 TAHUN' JIKA HARAPAN MENANG

Sayap pemuda Pakatan Harapan menjanjikan sejuta peluang pekerjaan dalam masa lima tahun jika pakatan pembangkang merampas kuasa Persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang.
Ketua Armada BERSATU Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, gabungan itu menyasarkan untuk mencapai matlamat ini dengan menjadikan 'kerja kotor' lebih menarik dan mengurangkan tenaga kerja asing.
"Terdapat 3.3 juta pekerja asing yang sah pada 2016, kami berhasrat untuk mengurangkannya kepada 2.5 juta dalam tempoh lima tahun," katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya, hari ini.
Syed Saddiq berkata, dengan tawaran gaji yang betul, seorang warga tempatan boleh melakukan dua kerja warga asing.
Dyana Sofya Md Daud dari DAP, yang turut hadir pula berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang menggajikan 2,437 pekerja majlis perbandaran - kebanyakannya melibatkan pengurusan sisa - tahun lepas.
"Jadi untuk mengatakan belia tidak berminat dengan pekerjaan kotor, berbahaya, dan sukar (3D) adalah tidak benar. Dengan tawaran gaji yang baik, mereka berminat," katanya.
Beliau berkata, inisiatif tersebut akan menelan belanja RM20 juta kepada kerajaan negeri tetapi berbaloi bagi mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan. - Malaysiakini
Read more ...

Thursday, 11 May 2017

TUN MAHATHIR PERDANA MENTERI SEMENTARA STABILKAN POLITIK DAN EKONOMI, KAJISELIDIK DEKLARASI RAKYAT

TUN MAHATHIR, ANWAR DAN AZMIN MENJADI PILIHAN CALON PERDANA MENTERI MALAYSIA – HASIL DAPATAN KAJISELIDIK OLEH KUMPULAN DEKLARASI RAKYAT.
Sekiranya Pakatan Harapan berani mengambil pendekatan ketengahkan calon Perdana Menteri untuk memberi bayangan secara jelas kepada rakyat peluang bagi memenangi pilihan raya umum dan menawan Putrajaya amat cerah.
Resipi terbaik untuk meyakinkan rakyat bagi Pakatan Harapan mencapai hasrat mengambilalih kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum dengan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri secara interim sehingga keadaan sosio-politik dan ekonomi negara kembali stabil.
Setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan rakyat mahukan teraju kepimpinan negara dipindahkan kepada gandingan Anwar dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Daripada dapatan kajiselidik itu menunjukkan 87% responden menyatakan
Pakatan Harapan harus menamakan tokoh-tokoh mereka secara ‘pre-emptive’ dan jelas bagi meyakinkan rakyat untuk memberi undi secara mutlak kepada barisan pembangkang ke arah menawan putrajaya.
Deklarasi Rakyat telah mengadakan tinjauan kajilidik di seluruh negara bagi mendapatkan nama-nama tokoh pemimpin dari Pakatan Harapan yang boleh diterima baik oleh rakyat jelata bagi menunjangi kepimpinan negara selepas PRU14 kelak.
Hampir 87% dari responden-responden menyatakan Pakatan Harapan harus menamakan tokoh-tokoh mereka secara ‘pre-emptive’ dan jelas bagi meyakinkan rakyat untuk memberi undi secara mutlak kepada barisan pembangkang ke arah menawan Putrajaya.
Dari kajilidik ini ramai yang berpendapat bahawa resipi terbaik untuk meyakinkan rakyat bagi Pakatan Harapan mencapai hasrat mengambil-alih kerajaan baru selepas pru14 nanti ialah dengan menamakan tun dr mahathir mohamad selaku perdana menteri secara interim untuk seketika sehingga keadaan sosio-politik serta ekonomi negara kembali stabil.
Selain dapatan sebanyak 82% pula mahukan Anwar dibebaskan dan dibersihkan rekod penahanan beliau yang dipandang masyarakat umum sebagai ‘political motivated’ melalui sistem perundangan.
Ini kerana responden menyatakan setelah Anwar dibersihkan rekod penahanannya melalui sistem perundangan sehingga dibenarkan bertanding oleh undang-undang; maka pada waktu tersebut rakyat mahukan teraju kepimpinan negara dipindahkan kepada gandingan Anwar dan Datuk seri Mohamaed Azmin Ali.
Koordinator Deklarasi Rakyat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, barisan kepimpinan ini amat diyakini oleh rakyat pada masa ini.
“Rakyat mahukan Pakatan Harapan menamakan Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara untuk menstabilkan lanskap politik dan ekonomi negara serta pada waktu keadaan menjadi tenteram maka kepimpinan negara mesti diserahkan pada Datuk Seri Anwar digandingkan dengan Datuk Seri Azmin Ali,” ujarnya dalam kenyataan hari ini lapor portal Malaysia Dateline. 
Dapatan kajiselidik itu juga menyebut 78% responden turut menyatakan bahawa Pakatan Harapan harus menamakan Dr Mahathir dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sekurang-kurangnya sebagai ‘Pengerusi bersama’ dalam Pakatan Harapan.
“Namun seramai 71% dari responden-responden turut menyatakan sekurang-kurangnya Tun Dr Mahathir dilantik sebagai ‘penasihat eksekutif’ bagi membolehkan tokoh negarawan tersebut bertindak secara effektif untuk menumbangkan kerajaan kleptokrasi memandangkan rekod cemerlang bekas perdana menteri itu memenangi pilihanraya umum sebanyak 5 kali dengan 2/3 majoriti dalam Parlimen.
“Para responden menunjukkan sikap mahukan imej Tun Dr Mahathir bertembung secara ‘direct‘ dengan Datuk Seri Najib yang mengepalai BN.
“Pada hemat ramai rakyat menyatakan sekiranya Pakatan Haraan dapat mengumumkan secara jelas pendirian dan pendekatan ini bagi menghadapi PRU14 nanti majoriti yakin Pakatan Harapan mempunyai peluang terbaik ke arah memenangi pilihan raya umum kali ini,” ujarnya.
Apabila ditanya mengenai barisan kepimpinan dari BN yang diyakini rakyat menunjukkan 59% dari responden menyatakan mereka hanya yakin pada Tengku Razaleigh Hamzah.
“Hampir kesemua nama-nama pemimpin BN sudah tidak diyakini rakyat jelata.
“Secara rumusannya, sekiranya Pakatan Harapan berani mengambil pendekatan ini untuk memberi bayangan secara jelas kepada rakyat jelata peluang bagi memenangi PRU14 dan menawan Putrajaya amat cerah,” ujarnya.
Justeru Khairuddin berkata, Pakatan Harapan harus bijak untuk mengambil peluang terhadap ‘aura’ Tun Dr Mahathir yang amat diyakini oleh semua lapisan masyarakat bagi menjaminkan barisan pembangkang dapat menubuhkan kerajaan baharu selepas pilihan raya umum ke-14 nanti. - Malaysiastylonews Foto: Al Jazeera
Read more ...

Tuesday, 9 May 2017

PAKATAN HARAPAN: CALON PM KITA AKAN LEBIH BAIK DARI NAJIB

Dengan pilihan raya umum dijangka diadakan tidak lama lagi, Pakatan Harapan masih belum menamakan calonnya untuk jawatan perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang berjaya merampas Putrajaya.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berjanji bahawa mana-mana calon yang dikemukakan itu, adalah lebih baik daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah sempat mencelah dan secara berseloroh berkata “mudah untuk mencari calon yang lebih baik daripada perdana menteri sekarang."
Katanya, HARAPAN juga mengambil maklum terhadap cadangan Datuk Zaid Ibrahim supaya Tun Dr Mahathir Mohamad turut dinamakan sebagai calon perdana menteri.
Kedua-dua pemimpin itu bercakap kepada media selepas mesyuarat mingguan sekretariat HARAPAN di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Petaling Jaya petang ini.
Menurut Saifuddin Nasution, tumpuan utama gabungan itu dengan mengambil kira pilihan raya umum akan datang adalah untuk mencabar idea-idea dan dasar BN.
"Sebab itu, mesyuarat kita hari ini tertumpu pada rangka kerja dasar bersama (untuk HARAPAN)," katanya.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata jawatankuasa media HARAPAN telah menerima 317 cadangan logo daripada orang ramai berhubung reka bentuk baru gabungan itu.
"Sehingga jam 11 pagi tadi, kami menerima 317 permohonan ... Daripada mereka yang melakar pada kertas tisu kepada mereka yang mencadangkan penjenamaan keseluruhannya,” katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memuat-naik tiga draf logo HARAPAN di media sosial, dan meminta orang ramai untuk memilih satu daripadanya. 

Sumber
Read more ...

Friday, 5 May 2017

DR M DI GELANG PATAH SEKALI LAGI TETAPI DENGAN MESEJ YANG SANGAT BERBEZA


Sebulan sebelum pilihan raya umum lepas pada tahun 2013, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam lawatan simbolik ke Johor Bahru, menggesa pengundi di Gelang Patah menjadikan kawasan itu sebagai 'kubur' kepada kerjaya politik Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Pada ulang tahun keempat pilihan raya umum ke-13 malam tadi, Dr Mahathir sekali lagi berada di Gelang Patah, tetapi kali ini beliau menyampaikan mesej yang sangat berbeza.
Dr Mahathir, yang secara peribadi telah mendakwa bertanggungjawab melabelkan imej DAP sebagai parti cauvinis Cina, menerima sambutan seorang bintang di majlis makan malam DAP di Gelang Patah.
Malah seorang ahli DAP meminta Dr Mahathir menandatangani gambar berbingkai pemimpin berusia 92 tahun itu, semasa beliau menjadi perdana menteri.
Dalam ucapannya di majlis makan malam kutipan dana itu, Dr Mahathir berharap hadirin akan bermurah hati dalam membantu DAP dan Pakatan Harapan.
Ia adalah satu perubahan peristiwa yang dramatik, hanya dalam satu kitaran pilihan raya dan Dr Mahathir dalam ucapannya, mengakui bahawa masih terdapat pihak yang tidak dapat menerima hakikat itu.
Mahathir berkata Lim, yang kini Ahli Parlimen Gelang Patah, telah dikritik kerana bersekutu dengan beliau, yang pernah dianggap sebagai seorang musuh ketat.
"Bagi (sesetengah) orang Cina, Kit Siang telah mengkhianati mereka. Bagi (sesetengah) orang Melayu, saya telah mengkhianati mereka. Tetapi kita tidak mengkhianati sesiapa, kita semua untuk rakyat Malaysia," kata Mahathir.
Beliau kemudiannya bercakap mengenai bekas partnya, Umno, yang kini diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, telah berubah menjadi sebuah kerajaan kleptokratik.
"Sebab itu saya dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) jadi rakan dalam gabungan Pakatan Harapan.
"Bersama, saya kuat," katanya.
Mahathir menekankan tentang perlunya bagi semua pihak dalam Pakatan Harapan, termasuk BERSATU, menyokong DAP jika ia parti pilihan untuk bertanding di Gelang Patah dan menggesa DAP dan sekutu lain untuk menyokong BERSATU atau mana-mana parti lain dalam HARAPAN yang bertanding di kawasan lain.
"Selama 60 tahun ... pembangkang tidak mampu untuk menang di peringkat persekutuan.
"Tetapi sekarang kita bersama dan kita akan dapat bekerjasama dan menang dalam pilihan raya," katanya.
Dr Mahathir juga mengulangi bahawa DAP adalah sebuah parti berbilang kaum dan bahawa MCA adalah parti cauvinis Cina.
Beliau juga menjelaskan dakwaannya terhadap DAP pada masa lalu, dengan berkata ianya adalah 'cara politik'.
"Kerajaan (di bawah saya), pada masa lalu, melabel DAP sebagai cauvinis Cina.
"Itu adalah cara politik - nak menang kita label mereka.
"Dalam kes DAP, ia dianggap sebagai parti cauvinis Cina. Saya pula dipanggil ekstremis (oleh pembangkang)," katanya.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, pada realitinya ini adalah tidak benar dan kerana itulah beliau bersedia untuk bekerjasama dengan DAP. - Foto: Malaysia Outlook
Read more ...

Thursday, 4 May 2017

DR M: BAHASA MESYUARAT, LAGU PARTI BUKTI DAP BUKAN PARTI PERKAUMAN


PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan DAP bukan parti totok Cina kerana bahasa Malaysia digunakan dalam mesyuarat dan lagu parti itu.

“Hampir semua cemuhan terhadap DAP diasaskan kepada kebencian terhadapnya sebagai parti totok Cina. DAP dipercayai berjuang semata-mata untuk bangsa Cina.

“Sebenarnya DAP bukan parti perkauman Cina. Ia adalah parti berbilang kaum walaupun majoriti ahlinya Cina. Terdapat Melayu, India dan suku kaum Sabah, Sarawak dalam DAP.

“Ada wakil rakyat DAP yang terdiri daripada orang Melayu dan India. Pemimpin besar DAP dahulu ialah Karpal Singh,” tulisnya dalam catatan terbaru di blognya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan segelintir pihak mendakwa DAP sebuah parti rasis dan cuba menjadi ketua dalam gabungan pakatan. Ia termasuk tindakan Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan DAP anti-Melayu atau anti-Islam dalam ucapannya sebagai presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno, 29 November tahun lalu.

Bekas perdana menteri itu berkata, DAP yang menganggotai Pakatan Harapan juga bersetuju menandatangani pernyataan sokongan gabungan itu kepada Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu berkata, pucuk pimpinan DAP tidak pernah meminta jawatan perdana menteri atau timbalan perdana menteri jika pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), memandangkan penduduk Cina ialah golongan minoriti di Malaysia.

“Tidak mungkin DAP menubuhkan kerajaan di peringkat pusat di Malaysia, jauh sekali menjadi perdana menteri walaupun DAP menang semua kerusi ditandingi.

“Daripada 222 kerusi Parlimen, hanya 52 sahaja yang mempunyai majoriti Cina. Untuk menubuhkan kerajaan, DAP perlu miliki lebih daripada 111 kerusi. Jelaslah DAP tidak memiliki cukup kerusi.

“Tetapi, ia boleh menganggotai kerajaan campuran walaupun kurang dari kerusi Melayu. Demikian juga MCA dan Gerakan,” katanya sambil menambah 3 parti berasaskan kaum Melayu tidak mungkin menyokong orang bukan Melayu menjadi perdana menteri.

“Gabungan parti pembangkang tidak mungkin didominasi DAP, selain di Pulau Pinang.”

Kenyataan ini dilihat bercanggah dengan kenyataannya pada 18 Januari lalu, apabila beliau dilaporkan berkata, DAP meminta pemimpin mereka diberikan jawatan timbalan perdana menteri jika pembangkang menang pada PRU14. - FMT
Read more ...

Tuesday, 2 May 2017

KAYA LUAR BIASA, DR MAHATHIR DICABAR ISYTIHAR HARTA

KUALA LUMPUR, 1 Mei — Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengisytiharkan jumlah harta yang dimilikinya dan keluarga, kata Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata bekas perdana menteri itu perlu berbuat demikian selepas tidak pernah menafikan kekayaan luar biasa yang dimiliki keluarganya. 

“Semua tertanya-tanya berapakah jumlah dan dari mana datang harta kekayaan ini. Dr Mahathir sehingga hari ini masih membisu mengenai perkara ini.

“Apakah Dr Mahathir mengelak daripada menjawab soalan itu kerana beliau sama ada takut atau malu hendak menjawabnya,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Puad berkata jika Dr Mahathir enggan memberi penjelasan maka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran melakukan siasatan.

Katanya, bekas presiden Umno itu juga perlu membuktikan harta yang dikatakan bernilai puluhan bilion ringgit itu bukan dari sumber rasuah dan salah guna kuasa. - Foto: FMT

- Sumber 
Read more ...

Monday, 1 May 2017

'HILANG BIASISWA JPA JIKA KRITIK KERAJAAN'

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu taklimat semalam memberi amaran kepada penerima biasiswa jabatan itu bahawa mereka mungkin kehilangan tajaan jika mengkritik kerajaan, lapor Sin Chew Daily.
Akhbar itu melaporkan, ia adalah antara enam amaran yang digariskan JPA kepada kira-kira 1,000 pelajar yang mendapat 9A + atau lebih dalam peperiksaan SPM dan menerima biasisiswa jabatan itu.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman dipetik sebagai berkata, kerajaan berhak membatalkan biasiswa kepada mana-mana penerima sekiranya mereka secara terbuka mengkritik kerajaan.
Tambahnya, kerajaan telah menyediakan dana kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran supaya dapat menimba ilmu dan menjadi profesional, oleh itu adalah tanggungjawab mereka untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.
Selain itu Zainal Rahim berkata kaedah-kaedah penajaan tahun ini kekal sama seperti biasiswa JPA yang lalu.
Pada tahun ini, biasiswa JPA hanya ditawarkan bagi pelajar dalam negara berikutan kekangan kewangan yang dikatakan berpunca daripada kejatuhan harga minyak. - Malaysiakini
Read more ...

Sunday, 30 April 2017

DR M: KITA TETAP YAKIN MENANG TANPA PAS


Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau yakin Pakatan Harapan tetap menang tanpa bersama Pas.

Read more ...

Saturday, 29 April 2017

MUKTAMAR PAS: SESI PERBAHASAN DITERUSKAN DALAM GELAP

ALOR SETAR: Hampir semua lampu dalam dewan terpadam ketika sesi perbahasan ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar PAS Pusat ke-63, sedang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Ahad.
Masalah itu berlaku ketika perwakilan PAS dari Perlis mahu memulakan perbahasan.
Namun sesi perbahasan itu tetap diteruskan dalam keadaan bergelap.
Kesemua perwakilan yang berada di dalam dewan kelihatan tenang dan tidak berganjak meninggalkan dewan memandangkan sistem pembesar suara tidak terjejas dengan masalah tersebut.
Punca sebenar kejadian tidak dapat dipastikan, tetapi dipercayai melibatkan masalah teknikal. - mstar
Read more ...

Friday, 28 April 2017

RAFIZI: CABARAN PEMUDA PAS SELANGOR LUCU

KUALA LUMPUR - Tindakan perwakilan Pemuda Pas, Mohd Shukri Omar mencabar Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli disifatkan sebagai satu kenyataan lucu.

Rafizi berkata, kenyataan itu seolah-olah dibuat tanpa Pas sedar yang kemenangan PRU13 lalu menjadikan Rafizi sebagai ahli parlimen Melayu pembangkang yang mempunyai saiz majoriti paling besar di seluruh negara.

"Saya membaca laporan serangan yang dibuat oleh perwakilan-perwakilan Pemuda Pas terhadap PKR, terutamanya saya dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Saya berasa lucu dengan cabaran itu kerana jika tidak kerana tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak yang secara berterusan mengheret saya ke mahkamah (sama ada pertuduhan jenayah atau saman sivil), saya sudah tentu akan mempertahankan kerusi parlimen Pandan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Rafizi lagi, beliau adalah wakil pembangkang pertama yang memenangi kerusi itu dengan majoriti yang besar iaitu sekitar 27,000 undi, iaitu 67 peratus undi popular.

"Di Pandan juga, undi Melayu yang saya menangi di peringkat parlimen Pandan jauh meninggalkan undi Melayu yang dimenangi Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad yang bertanding di Dun Cempaka di dalam parlimen saya. Maknanya ada pengundi Melayu di Pandan yang mengundi saya tetapi tidak mengundi Pas.

"Sebab itu adalah sangat lucu apabila Pemuda Pas mencabar saya bertanding di Pandan kerana saya bukannya takut atau mahu lari ke mana-mana!

"Masalahnya saya telah dijatuhkan hukuman penjara satu setengah tahun atas pertuduhan membongkar Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan bagaimana 1MDB tidak membayar anak syarikat LTAT dan geran kerajaan diambil 1MDB walaupun ia dikeluarkan untuk anak syarikat LTAT dan atas sabitan itu, saya tidak dapat bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang," katanya lagi.

Rafizi tidak dapat bertanding pada PRU14 melainkan sabitan terhadapnya digugurkan.

"Jika terdapat sabitan dan beliau dihukum denda sehingga RM2,000 atau lebih dari setahun penjara, beliau tidak layak sebagai calon, jadi tidak boleh bertanding," kata peguam Gobind Singh Deo kepada The Star Online sebelum ini.

Bagaimanapun, Gobind berkata, Rafizi masih boleh menjadi Ahli Parlimen sehingga "sabitan tersebut tidak boleh dikemukakan rayuan sepenuhnya". - Sinar Harian | Foto: The Star Online
Read more ...
Designed By VungTauZ.Com